Duhai Insan

Kalau menjadi manusia janganlah jadi manusia biasa, rapuh IMANnya, sempit mindanya..jadilah manusia LUAR BIASA, gah jiwanya, kental imannya, tertib solatnya, & fasih Qurannya..

Monday 9 May 2011

..Menjawab Salah Faham..


  • TUESDAY, MAY 3, 2011

  • FAKHRUDDIN ARRAZi



  • Nampaknya tulisan saya bertajuk ”Mereka yang gagal memahami erti zina hati” beberapa bulan yang lepas tiba-tiba sahaja dihujani dengan tuduhan dan kritikan yang bukan-bukan, yang tidak pun saya maksudkan dalam tulisan tersebut.

    Saya dituduh menghalalkan perkara yang haram. Juga dituduh menghalalkan couple. Menyelewengkan maksud hadith dan pelbagai tuduhan negatif lain. Bagi merungkai tuduhan-tuduhan tidak berasas tersebut suka saya membuat penjelasan tambahan untuk itu di ruangan ini.

    Buat mereka yang belum membaca tulisan tersebut sila klik pautan yang diberikan di bawah.

    Mereka Yang Gagal Memahami Erti Zina Hati (Bahagian 1):
    http://k-pmmm.blogspot.com/2011/02/mereka-yang-gagal-memahami-erti-zina.html
    Mereka Yang Gagal Memahami Erti Zina Hati (Bahagian 2):
    http://k-pmmm.blogspot.com/2011/02/mereka-yang-gagal-memahami-erti-zina_16.html
    Berikut adalah ringkasan jawapan kepada beberapa kekeliruan yang ditimbulkan.

    INGAT KEPADA WANITA ITU HARAM???

    Dalam tulisan yang lepas saya menyebut bahawa ingat kepada perempuan yang bukan mahram itu adalah harus dan bukan merupakan zina hati selagi tidak ada unsur-unsur nafsu syahwat yang menjurus kepada zina. Beberapa hujah telah saya sebut untuk itu.

    Tetapi ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan mendakwa bahawa ingat kepada perempuan itu haram dan merupakan zina hati.  Dakwaan yang tidak disokong dengan hujah yang kukuh.

    Kalau anda mendakwa hukum ingat kepada wanita itu haram berdosa, maka anda telah melanggar sifat agama Islam sendiri yang tidak membebankan manusia dengan perkara-perkara yang dia sendiri tak mampu.

    Saya telah mendatangkan ayat Al-Qur’an beserta dengan tafsiran daripada Syed Qutd tentang hal ini.
    Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:
    عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً
    Maksudnya: ((Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik)).   

    Kalau ingat kepada perempuan itu merupakan dosa tentunya Allah akan terus memberikan peringatan kepada para sahabat agar jangan ingat langsung kepada wanita.

    Allah tidak pula membuat perintah tersebut tetapi hanya menyuruh para sahabat menjaga batas supaya jangan bertemu secara rahsia dan menjaga percakapan. Syed Qutb dalam tafsirnya kepada ayat tersebut berkata:
    "وقد أباحها الله لأنها تتعلق بميل فطري حلال في أصله، مباح في ذاته، ... والإسلام يلحظ ألا يحطم الميول الفطرية إنما يهذبها ، ولا يكبت النوازع البشرية إنما يضبطها"
    “Dan Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).

    Anda teringat kepada sepupu perempuan anda yang bukan mahram, teringat kepada kakak ipar yang bukan mahram, teringat kepada ustazah di sekolah dahulu yang bukan mahram, berdosakah anda? Adakah anda telah terpalit dengan zina hati semata-semata kerana ingat kepada mereka?

    Kalau anda mendakwa itu adalah dosa dan termasuk zina hati, maka saya rasa anda sendiri tidak terlepas daripada terlintas dan teringat akan mereka. Maka selamat bergelumang dengan dosa saya ucapkan buat anda. Mahu sangat untuk mendosakan diri sendiri dengan perkara bukan dosa.

    MENDENGAR SUARA WANITA ITU HARAM???

    Sama juga dengan masalah di atas. Saya menyebut bahawa hukum mendengar suara wanita ini harus pada asalnya tetapi boleh bertukar menjadi haram dengan sebab-sebab tertentu. Namun ada yang tidak berpuas hati, dan cuba mengharamkannya tanpa hujah.

    Kalau anda meletakkan hukum bahawa suara wanita itu haram, maka dengan hukum tersebut dapat disimpulkan bahawa semata-mata mendengar walau sepatah pun daripada kata-kata mereka telah dianggap membuat dosa.

    Kalau begitu keadaannya, tiada siapa pun akan terlepas daripada dosa termasuklah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri. Wanita yang berbaiah kepada Nabi, mereka berbaiah tanpa menggunakan suara ke???

    Sebagaimana maklum, Nabi maksum daripada melakukan dosa besar dan dosa kecil. Kalau semata-mata mendengar suara wanita sahaja telah berdosa pada pandangan anda, maka tentunya Allah menegah Nabinya daripada melakukan dosa tersebut.

    Para Sahabat sendiri setelah kewafatan Nabi, datang bertanya dan belajar soal-soal agama daripada Sayyidatina Aishah. Sudah tentunya aktiviti bersoal jawab dan mengajar itu melibatkan suara.

    Andai anda menganggap mendengar sahaja suara wanita itu dianggap berdosa, maka isteri Nabi dan para sahabat telah melakukan dosa mengikut pandangan anda tersebut.

    Ataupun mungkin juga anda akan cuba berhelah dengan mengatakan bahawa hal itu tidak mengapa kerana melibatkan perkara-perkara yang baik…hehe. Sejak bila pula matlamat yang baik itu menghalalkan cara yang berdosa?

    MEMANDANG WANITA ITU HARAM???

    Begitu juga dengan memandang wanita. Saya menyebut bahawa hukum memandang wanita ini harus pada asalnya tetapi boleh bertukar menjadi haram dengan sebab nafsu syahwat dan sebagainya. Namun ada yang tidak berpuas hati, dan cuba mengharamkannya tanpa hujah.

    Kalau anda meletakkan hukum bahawa memandang wanita itu haram, maka bagaimana anda ingin menjelaskan dua hadith Nabi ini:

    1) Hadith daripada Sayyidatina Aishah hasil riwayat Abu Daud (4/62, no 4104), dan riwayat Baihaqi (7/86, no 13274).
    عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ: يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
    Dalam hadith tersebut, Asma’ yang merupakan kakak ipar Nabi datang ke rumah Nabi dengan memakai pakaian yang jarang. Lalu Nabi mengalihkan pandangan dan  menyebut kepada Asma’: “Wahai Asma’, apabila perempuan itu telah baligh, tidak boleh baginya dilihat kecuali muka dan tapak tangan”.

    Bermakna melihat kepada muka dan tapak tangan perempuan itu harus. Sebab itu saya berkata berkata bahawa hukum melihat kepada perempuan itu harus.

    Anda yang mahu mengharamkannya, atas hujah apa anda mahu mengharamkannya? Sekadar suka-suka untuk mengharamkan? Mahu menafikan hadith ini???

    2) Hadith kedua daripada Sahl bin Sa’ad hasil riwayat Imam Bukhari (5/1973, no 4842), dan Imam Muslim (2/1040, no 1425):
    حدثنا سهل بن سعد: كنا عند النبي صلى الله عليه وسلم جلوسا، فجاءته امرأة تعرض نفسها عليه. فخفض فيها النظر ورفعه، فلم يردها. فقال رجل من أصحابه: زوجنيها يا رسول الله
    Maksud ringkas hadith tersebut adalah ketika mana Sahl sedang duduk dengan para sahabat bersama Nabi, seorang wanita datang lalu menawarkan dirinya kepada Nabi untuk dikahwini di hadapan para sahabat lain.

    Nabi melihat wanita tersebut dari bawah ke atas. Dan tidak memberikan jawapan. Lalu berkata seorang lelaki dari kalangan Sahabat, kahwinkanlah aku dengannya wahai Rasulullah.

    Bukankah Nabi melihat kepada wanita tersebut dari bawah ke atas begitu juga para sahabatnya yang berada dalam majlis tersebut. Berdosakah Nabi dan para sahabatnya?

    “Oh my God, Nabi dan para sahabat telah melakukan dosa dengan melihat wanita tersebut”. Anda nak kata begitu? Sanggup??? Nauzubillahi min zalik.

    Itu hanya sedikit daripada dalil-dali daripada hadith. Sebab itulah saya berkata dalam tulisan yang lepas bahawa melihat kepada perempuan itu harus, kerana itu memang hukum asalnya. Hukum ini bertukar andainya ada perkara haram lain yang mendatang seperti syahwat dan sebagainya.

    Bak kata Imam Sam’ani yang bermazhab Syafei dalam tafsirnya kepada surah An-Nur, ayat ke-31 (Rujuk Tafsiru Sam’ani, jilid 3, m/s 521):
    فعلى هذا يجوز النظر إلى وجه المرأة وكفيها من غير شهوة ، وإن خاف الشهوة غض البصر
    Maksudnya: “Dengan itu harus melihat kepada muka perempuan itu dan kedua tapak tangannya tanpa syahwat. Andai ditakuti syahwat maka hendaklah dia tundukkan pandangan”.

    Hadith pun dah bagi, tafsir ulama kepada ayat Al-Qur’an pun dah bagi, tak puas hati lagi? Masih lagi mahu menegakkan benang yang basah dengan mengatakan semua itu haram??? Agak-agak lah.

    Tentunya apabila saya berkata melihat kepada perempuan itu harus, itu bererti melihat kepada perkara-perkara yang diizinkan oleh syara’ iaitu wajah dan kedua tapak tangannya bukannya melihat kepada auratnya.

    Tapi sayangnya, anda tidak cuba memahami kata-kata tersebut dengan baik bahkan cuba membuat analogi yang bukan-bukan. Kata anda:

    Bagaimana jika ana melihat VIDEO PORNO (LUCAH) TAPI TANPA RASA BERAHI???? adakah masih halal,,,,yela haram hanya jika berahi,,,tapi ana lihat tanpa rasa berahi…adakah ia tetap halal?????.....lihat perempuan tanpa berahi….adakah halal,,,walaupun hakikatnya perempuan tersebut telah berbogel depan ana…….ana tak ada syahwat melihatnya,,tapi dia berbogel…….adakah ini masih halal melihat……”.

    Kasihan sungguh, susah-susah sahaja buat analogi yang bukan-bukan.

    Pertamanya: Lelaki mana yang tengok filem lucah dan tengok perempuan berbogel tak naik syahwatnya??? Mati pucuk ke apa???

    Keduanya: Melihat filem lucah tentunya akan melihat kepada aurat dan kemaluan. Siapa pula yang berkata melihat aurat dan kemaluan orang lain itu tidak mendatangkan dosa??

    Ketiganya: Anda sekadar cuba menyeleweng dan mereka-reka analogi yang tak relevan.

    Apabila saya berkata: Islam tidak mengharamkan pandangan kecuali apabila pandangan itu disertai dengan nafsu syahwat. Tiba-tiba anda berkata: Kalau begitu, kalau saya tengok perempuan berbogel tapi tak naik syahwat kira halal lah?

    Apa bezanya anda dengan contoh di bawah?

    Kalau saya berkata: Islam tidak mengharamkan minuman kecuali kalau minuman itu memabukkan. Menggunakan analogi yang sama, anda akan berkata: Kalau begitu, kalau saya minum arak tapi tak mabuk kira halal lah?

    Sudahlah gagal untuk faham kenyataan saya, cuba diselewengkan pula secara sengaja. Analogi yang diberikan pula makan diri sendiri. Kasihan sungguh.

    MASALAH “JANGAN MENDEKATI ZINA”

    Adapun masalah ayat Al-Qur’an yang kerap kali menjadi hujah anda “Janganlah mendekati zina” (Surah Al-Isra’, ayat ke-32), anda sendiri nampaknya gagal untuk faham dengan mendalam maksud ayat tersebut apatah lagi untuk berhujah dengannya.

    Ayat tersebut menggunakan kaedah yang dipanggil سد الذرائع /Saddu Zaraik. Apa yang dimaksudkan dengan Saddu Zaraik?

    Saddu Zaraik bermaksud menutup jalan-jalan yang membawa kepada kerosakan dan dosa. (Rujuk Maqasidu Syari’atil Islamiyyah wa Makarimuha oleh Allal Al-Fasi, m/s 158).

    Soal menutup jalan yang membawa ke arah dosa ini tiada siapapun yang mempertikaikannya. Tetapi apakah hukum asal kepada jalan-jalan yang membawa kepada dosa itu? Adakah hukum asalnya haram atau hukum asalnya harus?

    Jawapannya adalah hukum asal jalan-jalan tersebut adalah harus, tetapi ditutup untuk tidak menjebakkan kita kepada yang haram.

    Sebagai contoh:

    Minum arak hukumnya haram dan merupakan dosa besar. Adapun menanam anggur hukumnya harus.

    Tetapi apabila anggur yang ditanam itu menjurus kepada proses untuk membuat arak maka hukumnya haram, bukan kerana tanam anggur itu haram tetapi kerana hukum akhir kepada anggur itu yang bertukar menjadi arak.

    Tapi apabila ada orang bertanya apa hukum tanam anggur? Apakah anda akan semberono menjawab hukumnya haram??? Mungkin golongan peng”haram” seperti anda akan menjawab begitu. Saya tidak akan jawab begitu.

    Begitu juga halnya dengan Zina.

    Berzina hukumnya haram dan merupakan dosa besar. Berurusan dengan perempuan hukumnya harus. (Dah berurusan mestilah melibatkan pandangan, mendengar suara, teringat dan sebagainya).

    Tetapi andainya berurusan dengan perempuan itu menyebabkan diri terjerumus ke kancah zina, maka hukum berurusan itu bertukar menjadi haram, bukan kerana hukum berurusan itu haram tetapi kerana hukum akhir kepada berurusan tersebut yang boleh menyebabkan berzina.

    Tapi, apabila ada yang bertanya apa hukum berurusan dengan perempuan? Saya akan jawab hukumnya harus. Namun, mungkin bagi golongan peng”haram” seperti anda akan menjawab hukumnya haram tanpa usul periksa dan asas ilmu.

    Kita tidak menafikan zina itu adalah dosa besar. Bagi mengelakkannya kita perlu menjauhkan diri daripadanya. Allah dan RasulNya telah merumuskan jalan bagi mengelakkan kita daripada terjerumus ke kancah tersebut. Antaranya dengan mewajibkan wanita menutup aurat, mengharamkan lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi, menundukkan pandangan dan sebagainya.

    Lihat bagaimana telitinya Allah dalam memberikan arahan kepada hamba-hambanya sesuai dengan sifat agama Islam yang datang untuk memberi rahmat ke sekelian alam.

    Tundukkan pandangan anda iaitu jangan meliarkan pandangan, bukannya tutup terus pandangan anda daripada melihat.

    Tapi sayangnya, ada antara kita yang begitu seronok dan begitu teruja sekali untuk mengharamkan. Allah suruh tundukkan pandangan, dia suruh tutup terus pandangan, haram katanya…hehe. Jadi orang buta teruslah macam tu senang.

    Melihat kepada perempuan, mendengar suara perempuan, ingat kepada perempuan itu pada asalnya harus, tetapi andai didorang oleh nafsu syahwat dan ada kemungkinan untuk terjebak kepada dosa zina, maka Allah meminta kita menjauhkan diri daripadanya, bukan kerana perkara tersebut haram, tetapi kerana perkara tersebut boleh menjerumuskan kita ke kancah zina.

    Itulah apa yang cuba saya sampaikan dengan menyebut bahawa hukum melihat, mendengar dan mengingati perempuan itu harus.

    Alih-alih saya dituduh dengan pelbagai tuduhan, menghalalkan yang haramlah, niat tidak menghalalkan caralah, bla bla bla…

    Kalau ada hujah balas bagus juga, tetapi tiada satu hujah pun dibawa, hanya sekadar berhujah secara umum “Jangan hampiri zina”. Itulah yang diulang beberapa kali walhal diri sendiri tidak faham secara terperinci tentang pengharamannya.

    MASALAH BERCINTA DAN BERCOUPLE

    Saya juga dituduh menghalalkan couple. Sehingga saya sendiri pun hairan dan pelik, baca ke tidak tulisan saya tu. Atau memang sengaja buat-buat tak faham dengan apa yang dibaca.

    Dalam tulisan lepas, saya telah terlebih dahulu membuat perincian sebelum membincangkan soal bercinta atau bercouple.

    Saya telah menegaskan bahawa andai yang dimaksudkan itu adalah keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, bermesra-mesraan dan sebagainya maka saya kira semua daripada kita akan bersetuju tentang keharamannya, tidak ada mana-mana ustaz pun akan menghalalkannya.

    Tapi kalau maksud bercouple itu hanyalah memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki dan perempuan, maka atas dasar dan hujah apa anda membuat hukum pengharaman???

    Menyimpan perasaan cinta dan berkenan kepada seseorang dalam hati itu haramkah? Selagi tidak melakukan perkara-perkara yang haram dan menjaga batas pergaulan, maka perasaan cinta yang ada dalam hati itu tiada asas untuk diharamkan.

    Hal ini diperakui oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:
    عن ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال: "يا رسول الله في حجري يتيمة قد خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب الموسر وهي تحب المعدم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لم نر للمتحابين غير النكاح)". أخرجه ابن ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى (11/17، رقم 10895)، والحاكم (2/174، رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم، والبيهقى (7/78، رقم 13231).

    Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kepada yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: (Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali kahwin)”.  Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874), At-Tabarani (11/17, no 10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata bahawa “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi (7/78, no 13231).  

    Nabi langsung tidak mencela perasaan cinta yang dimiliki anak yatim perempuan tersebut kepada lelaki sebelum berkahwin. Nabi hanya berkata bahawa perkara yang sesuai kepada orang yang saling menyintai itu adalah kahwin.

    Justeru, perasaan cinta dalam hati itu tiada sebab untuk diharamkan dan dianggap sebagai zina hati berdasarkan hadith ini.

    Dengan itu, adakah anda tetap menganggap perasaan cinta yang tumbuh dalam hati itu juga haram dan tidak menerima hadith Nabi ini??? Anti hadith ke apa???

    Hadith zina hati itu sila fahami dengan baik. Lihat kepada hujung hadith tersebut apa sabda Nabi:
    وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
    Maksudnya: “Dan hati itu berkeinginan dan berharap, dan kemaluan itu membenarkan atau menidakkan”. Hadith riwayat Imam Muslim (4/2046, no 2657).

    Soalnya, keinginan dan harapan apa yang wujud dalam hati yang bergantung kepada kemaluan untuk dibenarkan kalau bukan keinginan dan harapan untuk berzina dalam hati??? Itulah zina hati.

    Kalau sekadar teringat kepada perempuan yang bukan mahram dengan teringat kenangan manis, atau teringat kepada insan yang dilihat mampu menjadi isteri yang baik buat diri, atau teringat kepada tunang yang bakal menjadi isteri pun mahu dilabel sebagai zina hati maka itu merupakan satu sikap melampau yang tidak diajar dalam agama.

    Bayangkan Sahabat Nabi yang teringatkan wanita untuk dikahwini, apa kata Allah kepada mereka? Apa Syed Qutb dalam tafsirnya sebut tentang ayat tersebut?

    Ini tidak, sekadar mahu mengharamkan semua secara membabi buta tanpa hujah. Selepas itu tuduh orang lain menyelewengkan maksud hadith. Indahnya hidup…

    TERPERINCILAH DALAM MEMBERIKAN HUKUM.

    Apabila kita ditanya tentang hukum. Kita perlu menjawab dengan terperinci.

    Apa hukumnya ingat kepada perempuan? Hukumnya harus selagi tidak dibimbangi menjuruskan diri ke arah zina.

    Apa hukumnya mendengar suara perempuan? Hukumnya harus selagi tidak dibimbangi menjuruskan diri ke arah zina.

    Apa hukumnya melihat kepada perempuan? Hukumnya harus selagi tidak dibimbangi menjuruskan diri ke arah zina.

    Itulah jawapannya secara ilmiyyah.

    Apabila saya mengatakan hukumnya harus, adakah dengan ini bererti saya telah menggalakkan mereka ke arah zina??? Tidak sama sekali. Kita hanya menjelaskan hukum.

    Soal anda tak mahu langsung ingat kepada perempuan, tak mahu langsung dengar suara perempuan, tak mahu langsung lihat perempuan itu anda punya pasal. Anda mahu untuk lebih selamat dengan menjauhkan diri daripada perkara-perkara tersebut baguslah, tiada sesiapa yang menentang.

    Tetapi apabila anda ditanya tentang hukum, anda perlu menjawab secara terperinci dan jelas berdasarkan hujah ilmiyyah bukan berasaskan perasaan anda semata-mata.

    Oleh sebab anda tak pernah berkawan dengan perempuan maka dengan itu sesiapa yang berkawan dengan perempuan itu hukumnya haram, begitu??? Hukum bukannya boleh dikeluarkan begitu.

    Oleh sebab anda tidak bercouple kerana anda berpandangan bahawa bercouple itu menjerumuskan diri anda ke lembah maksiat, maka dengan itu sesiapa yang bercouple itu hukumnya haram??? Kalau begitulah hukum dikeluarkan, tak perlu pergi berguru dengan syeikh pun takper. 

    Contoh lain:

    Apabila Ulama seperti Imam Ibnu Hazm atau Imam Al-Ghazali atau Syeikh Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa hukum menyanyi dan menari itu harus di sisi agama. Adakah ini bermakna mereka menggalakkan umat Islam supaya menyanyi dan menari?
    Tidak sama sekali. Mereka hanya mengeluarkan hukum berdasarkan hujah ilmiyyah.

    Mereka sendiri tak pernah pun sibuk nak menyanyi atau menari malah menjauhkan diri langsung dengan dunia hiburan. Tetapi apabila mereka ditanya tentang hukum menari dan menyanyi, mereka secara jelas mengatakan hukumnya harus.

    Adakah dengan ini kita mahu menganggap bahawa mereka telah menyeleweng, atau menuduh mereka sebagai ulama yang mengejar dunia??? Agak-agaklah Bro.

    Begitu juga dengan masalah melihat perempuan, mendengar suara perempuan, mengingati perempuan. Hukumnya adalah harus selagi mana tidak dibimbangi menjuruskan diri ke arah zina.

    Kalau sekadar dengan mudah sahaja menjawab hukumnya adalah haram kerana menghampiri zina, itu adalah jawapan budak-budak.  Jawapan sebegini kalau dijawab di kalangan ilmuan dan Shuyukh dah lama kena hempuk.

    Kalau tak faham lagi, maka saya datangkan lagi perumpamaan lain.

    Andai saya ditanya: Ustaz apa hukumnya makan daging kambing?

    Saya akan cuba menjawab secara ilmiyyah bahawa makan daging kambing ni asal hukumnya harus, berdasarkan dalil dan qaedah fiqhiyyah bla bla bla … tapi hukum boleh bertukar menjadi haram bagi mereka yang ada simptom-simptom untuk diserang dengan sakit darah tinggi dan memudaratkan diri.

    Begitu juga dengan soalan-soalan berkaitan melihat, mendengar, mengingati perempuan. Hukum asalnya adalah harus kerana dalil-dalil serta qaedah fiqhiyyah mengatakan begitu tetapi hukum ini boleh bertukar menjadi haram kalau menjuruskan kita ke arah zina.

    Tak boleh nak faham lagi ke??? Berapa banyak punya contoh dah bagi…

    PENUTUP

    Saya tahu anda mungkin sedang berperang dengan masalah remaja yang teruk bercouple di universiti di Malaysia mungkin menyebabkan anda bersikap keras dalam hal ini. Langsung mahu mengharamkan serba sebi yang berkaitan dengan hubungan lelaki dan perempuan kerana terdesak untuk mencegah rakan-akan daripada terjebak.

    Kalau saya berada dalam suasana anda pun, berkemungkinan saya juga akan mengambil sikap seperti anda. Yalah mana tak bengangnya melihat rakan-rakan terjebak dengan masalah couple kan. Keluar tengok wayang berdua, study group berdua, dan sebagainya.

    Tapi kita perlu sedar, dalam kita membasmi masalah tersebut, kita perlu membasminya dengan hikmah dan kesedaran atas asas ilmu. Tahu batas mana yang boleh dan batas mana yang tak boleh. Bukannya pukul borong semua tak boleh ikut perasaan yang berkobar-kobar mahu membasmi maksiat.

    Jangan sampai kita membasmi fitrah manusia dalam usaha kita membasmi maksiat.

    Renungkan kata-kata Syed Qutb ini: (Sila terjemah sendiri, malas dah nak menterjemah)  

    إن الإسلام يشرع لناس من البشر، لا لجماعة من الملائكة، ولا لأطياف مهومة في الرؤي المجنحة! ومن ثم لا ينسى - وهو يرفعهم إلى جو العبادة بتشريعاته وتوجيهاته - أنهم بشر، وأنها عبادة من بشر . . بشر فيهم ميول ونزعات، وفيهم نقص وضعف، وفيهم ضرورات وانفعالات، ولهم عواطف ومشاعر، وإشراقات وكثافات . . والإسلام يلاحظها كلها؛ ويقودها جملة في طريق العبادة النظيف، إلى مشرق النور الوضيء، في غير ما تعسف ولا اصطناع. ويقيم نظامه كله على أساس أن هذا الإنسان إنسان

    (Rujuk Tafsir Fi Zilalil Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 217).

    Kesimpulannya, Islam datang untuk menjadikan kita manusia yang baik. Bukan untuk menjadikan kita malaikat.

    Sekian, wassalam

    Ahmad Fathi Bin Muhammad
    Isnin, 29 Jumadal Ula bersamaan 2 Mei 2011
    Marakech, Maghribi.

    fathifawwaz@yahoo.com

    p/s: Saya tidak dapat memberi respon di facebook seperti permintaan anda kerana saya tidak memiliki facebook. Mana-mana ahli PMMM yang mempunyai facebook tolong panjangkan.
    Saya tidak memilik facebook bukan kerana facebook haram ya…hehe. Sekadar ada alasan tersendiri untuk tidak memiliki facebook dan mana-mana laman sosial lain setakat ini.

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...